30 October 2008

alam remaja yang indah kembali berlegar dalam resah mimpiku sewaktu semilir bayu dingin membelai tubuh lantas meronakan kenangan ke laman kasihmu ...


Bukan niatku mencungkil kisah lalu. Wajah ayumu sentiasa dalam lipatan kenangan. Di hadapanmu, wajah mulus yang mencerna bahagiaku, emosiku sentiasa tersentuh. Keakraban persahabatan bukan bererti kita dapat bersama selamanya. Aku pasrah menerima ketentuan takdir. Pertemuan semula, setelah sekian lama hati sering menangis meratap perpisahan, adalah saat indah yang mengembalikan nostalgia. Hatiku, hati seorang lelaki yang keras dan tidak mudah mengalah, cair dalam segar lunak suaramu ...

.
.
.

22 October 2008

sudiro sukiman sahabatku, selamat bersemadi ...


Hari Jumaat, 17 Oktober 2008 yang lalu, jam 3.00 petang saya menerima berita sedih. Kawan baik saya, Sudiro Sukiman telah kembali menemui Tuhan Yang Esa. Saya mengenali arwah semasa kami sama-sama terlibat dalam teater kanak-kanak dulu, sementelah pula, sebelum berpindah ke Subang, dia tinggal di penempatan yang sama dengan saya.

Sebelum bulan Ramadan yang lalu, saya menelefon allahyarham, bertanya kabar dan saya beritahu bahawa saya akan ke rumahnya dalam masa sehari dua lagi. Masa "sehari dua" yang saya katakan itu pun tiba. Pagi. Saya menelefon allahyarham sekali lagi. Dia menjawab panggilan saya. Katanya, "Nan, kau tak payah le datang rumah aku. Aku nak balik rumah mak aku ni. Dah lama pun, aku tak balik. Kita jumpa kat sanalah, nanti."

"Okey lah," jawab saya.

Malam. Saya telefon allahyarham untuk memastikan yang dia sudah berada di rumah emaknya. "Aku belum sampai," katanya.
Sejam kemudian, ada suara orang memberi salam di muka pintu rumah saya.

"Diro! Kata kau belum sampai. Tetiba jer dah ada kat sini."
"Aku dah sampai siang tadi lagi. Saja tak telefon kau," katanya dalam senyuman. Mengiringinya, anak saudaranya, Fendi.
"Sepatutnya aku ke sana ziarah kau. Kau kan tak sihat. Ni, kau pulak datang rumah aku!"
"Sori la. Bukan aku tak bagi kau datang rumah aku. Rumah aku tu, jauh. Susah kau jer nak pegi sana, " kata allahyarham.

Kami berbual. Dia menceritakan kesusahan dan keperitan yang ditanggung sejak akhir-akhir ini. Terpaksa berulang-alik mencuci darah di hospital. Biaya untuk mengubat penyakitnya pun agak banyak. Badannya susut, kurus. Berjalan pun berhati-hati. Di pinggangnya, ada kantung air dan salur tiub yang menembusi perut yang terpaksa di bawa ke mana saja dia pergi. Tapi, air mukanya sentiasa ceria. Gurauannya seperti biasa. Ada-ada saja selorohnya. Dan Fendi, anak saudaranya itu pun sudah mengikut jejaknya - dalam percakapannya ada gurau senda. Lama juga kami berbual sebelum allahyarham memohon untuk balik ke rumah emaknya yang tidak jauh dari rumah saya.

Minggu ke-2 Syawal, anak saya menjemput kawan-kawannya berhari raya di rumah. Fendi juga datang.
"Mana uncle," tanya saya kepada Fendi. Uncle adalah panggilan untuk allahyarham.
"Uncle kat Subang. Sepatutnya saya balik ambik dia ni. Tapi motor saya rosak, accident," jawab Fendi sambil menunjukkan luka-luka di badannya. "Bila motor dah siap repair nanti, saya balik ambik dia."
"Bawak dia datang sini," pesan saya. Fendi angguk.

Lepas itu saya tidaklah menelefon allahyarham, kerana memikirkan bahawa beberapa hari lagi Fendi akan membawa allahyarham balik ke rumah emaknya. Dan dia pasti akan datang ke rumah saya. Sehinggalah hari Jumaat lepas, saya mendapat berita sedih itu ...

Allahyarham dulu pernah berlakon dalam siri "Rumah Kedai" dengan memegang watak Tapa. Sehingga akhir hayatnya, allahyarham masih meneruskan khidmatnya melatih generasi muda dalam bidang teater.

Diro - selamat bersemadi di sisi Tuhan Yang Esa. Doa kami, semoga engkau di tempatkan dalam kalangan insan beriman dan diredai Tuhan. Amin.

(sumber foto: Berita Harian)
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20081018005820/Article/

14 October 2008

ayah ... boleh saya pinjam sepuluh ringgit ...


Saya dapat kiriman e-mel daripada seorang rakan sepejabat, Sdr Wan Mohd Safuan Wan Ahmad. Cerita asal saya tidak tahu daripada siapa, tapi saya mohon kebenaran untuk saya siarkan dalam blog ini. Cerita ini saya edit sikit-sikit. Semoga menjadi renungan kita bersama.

Malam. Hampir pukul 10. Seorang ayah pulang ke rumah dalam keadaan letih. Kepulangannya disambut oleh anaknya, Amin yang berusia 10 tahun. Sambil mengangkat briefcase ayahnya, Amin bertanya ayahnya.

Amin: Ayah ... ayah ... boleh Amin tanya?
Ayah: Hmmm .... nak tanya apa?
Amin: Ayah ... berapa pendapatan ayah sejam?
Ayah: Itu bukan urusan kamu, buat apa sibuk-sibuk nak tanya gaji ayah? (Si ayah mula meninggikan suara).
Amin: Maafkan Amin, ayah. Amin saja nak tahu. Kalau boleh, tolonglah beritahu Amin? kata Amin sambil tunduk kerana takut melihat ayahnya yang sedang marah.
Ayah: 20 ringgit sejam. Kenapa nak tahu? (Si ayah meninggikan suara lagi).
Amin: Oh ... 20 ringgit. (Perlahan suara Amin. Dia tunduk dan bermuka sedih).
Amin: Ayah ... boleh tak bagi Amin pinjam 10 ringgit daripada ayah? (Amin memandang muka ayahnya dengan harapan).

Si ayah mula berang dan berkata, "Oh, itu sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak minta duit! Nak beli mainan lagi?? Ayah penat kerja cari duit, kamu senang-senang nak membazir, ya! Sudah, pergi masuk tidur! Dah pukul berapa ni!"

Amin terdiam. Dia sedih dan hampir menitiskan air mata. Perlahan-lahan dia kembali ke biliknya. Si ayah duduk di sofa sambil memikirkan mengapa anaknya meminta duit 10 ringgit. Tidak lama kemudian, Si ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan besar anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolah. Sebelum ini anaknya tidak pernah meminta wang sebanyak itu.

Dengan rasa kesal dan bersalah, Si ayah melangkah menuju ke bilik anaknya. Amin masih belum tidur. "Kamu benar-benar perlukan 10 ringgit? Nah ... ambil ni."
Si ayah mengeluarkan duit merah. Amin bangun dan dengan tersenyum girang mengambil duit itu daripada ayahnya. "Terima kasih, ayah! Nanti bila Amin ada duit, Amin akan ganti."

Kemudian, Amin mengangkat bantalnya dan mengambil duit 10 ringgit yang sudah kusam dan renyuk terhimpit bantal. Apabila ternampak duit itu, si ayah kembali berang. "Kenapa kamu mintak duit lagi, sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu? Dari mana kamu dapat duit tu?"

Amin tunduk ... tak berani dia merenung ayahnya. Sambil menggenggam kemas duit itu, dengan linangan air mata, dia menerangkan, "Duit ni Amin kumpul. Duit belanja sekolah yang ayah bagi hari-hari. Amin minta lagi 10 ringgit sebab Amin tak cukup duit." Amin terhenti bersuara sambil teresak.

"Tak cukup duit nak beli apa?" jerkah Si ayah lagi.
"Ayah ... sekarang Amin dah ada 20 ringgit. Nah, ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam masa ayah di pejabat tu. Amin nak ayah balik kerja awal esok. Amin rindu nak makan malam dengan ayah. Amin rindu belaian dan suara ayah,” jelas Amin tanpa memandang wajah ayahnya.

08 October 2008

puasa sunat syawal yang pahalanya bersamaan dengan sebulan berpuasa pada bulan ramadan



Hari ini, 8 Syawal. Hari ini juga merupakan hari raya bagi sesiapa yang berpuasa sunat Syawal. Sejak zaman sekolah dulu-dulu, uztaz, ustazah, tuk guru (dan cikgu-cikgu (cikgu s.yanaz?)) dah bagitau banyak kali. Puasa sunat Syawal yang enam hari ni, pahalanya bersamaan dengan berpuasa selama sebulan bulan Ramadan.

Jadi, ada juga kawan-kawan yang berseloroh buat kelakar, jika dia berpuasa sunat 6 hari pada bulan Syawal tahun ini, maka pada tahun hadapan dia tidak perlu berpuasa pada bulan Ramadan.

Ada juga yang buat perkiraan macam ni: sepanjang bulan Syawal, dia dapat menunaikan 4 kali puasa sunat (setelah 6 hari puasa, raya 1 hari dan ulang berpuasa lagi 6 hari). Jadi, dia tidak perlu berpuasa Ramadan bagi 4 tahun yang akan datang.

Suku sakat yang lain kata macam ni pulak: dia tak berpuasa pada bulan Ramadan, sebaliknya hanya berpuasa sunat Syawal 6 hari saja. Dia dah dapat pahala sebulan bulan Ramadan.

Ho ho. Jadi:

RENUNG-RENUNGKAN!

DAN ...


SELAMAT BERAMAL!