31 July 2009

puisi aku dalam dewan sastera ogos 2009


Profesor Rahman Shaari pernah menulis sebuah puisi berjudul "Kintalo dengan Telur Emas".
Puisi itu memang menarik. Puisi sambungan kisah Kintalo di bawah ini aku tujukan khas kepada Prof. Rahman. Puisi ini disiarkan dalam majalah Dewan Sastera keluaran bulan Ogos 2009 yang sedang berada dalam pasaran sekarang.

SETELAH PULUHAN TAHUN BERLALU,
KUTEMUI KETURUNAN KINTALO
(dedikasi kepada Profesor Rahman Shaari)

Kintalo, Kintalo, Kintalo ...
Kintalo tersedar akan kesilapan
Pesan gergasi segar dalam ingatan
Telur yang dua dalam simpanan
Dijaga dibelai penuh perhatian

Sewaktu pasaran saham melonjak tinggi
Harga emas pun melambung lagi
Kintalo bijak mengatur strategi
Penuh sabar dia menunggu lagi

Telur dijaga sebaiknya dibelai mesra
Sekali lagi emas melonjak harga
Telur emas itu Kintalo jual segera
Jutaan ringgit nilai telurnya

Hiduplah Kintalo dalam kemewahan semula
Dibelinya barangan mahal berjenama segala
Setakat banglo dua tiga buah perkara biasa
Televisyen skrin rata, kereta, dan isteri juga
Semuanya yang besar-besar BELAKA

Tapi ... Kintalo tidak pernah lupa
Dia membayar zakat harta benda
Dia beramal jariah selagi terdaya
Dia tidak lupa si miskin si papa

Jodoh, ajal, semuanya adat hidup di dunia fana
Umur Kintalo dan isteri sampai penghujung
Waris Kintalo pun mewarisi segala harta
Wahai ... Memang dia sangat beruntung!

Ada kepada suatu peristiwa
Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa
Banglo mewah rumah agam musnah segala
Meratap menangislah sekalian mangsa

Di hotel mewah mangsa ditempatkan sementara
Namun ada yang berasa masih tidak selesa
Mereka berpakat menuntut pampasan
Malangnya tuntutan tidak dilayan

Di tapak rumah segala musnah berserakan
Seorang mangsa perempuan kuajukan soalan:
“Agaknya bagaimana masa hadapan puan
Sehelai sepinggang tiada bantuan?”

Tanpa sedih malah bermuka selamba
Konon kecewa tapi masih bergaya
Dia menjawab dengan bersahaja:
“Memang susah hidup kami nanti
Duit dalam bank tinggal satu dua juta saja lagi!”

Aku diam kelu lidah tidak terkata
Dalam hati aku menyumpah segala:
"Memang patut Tuhan berikan kau bala
Wang berjuta masih tidak cukup juga."

Mendengar keluhan perempuan yang ego
Selamba walau harta musnah sekelip mata
Memang sungguh dia waris Kintalo
Yang mewarisi wang berjuta-juta

Andai Kintalo masih bernafas kini
Gergasi pun masih ada di sini
Tentu Kintalo mendengar pesan gergasi lagi:
“Telur itu jangan sesekali kau beri
Kepada perempuan yang sombong ini!”