03 September 2009

nak beli @ sewa apartmen kos sederhana?

Sesiapa yang nak sewa atau nak beli rumah (apartmen) kos sederhana. Ada 3 bilik tidur. Ada 2 bilik mandi. Luas 750 sqf.
Lokasi yang sangat strategik:

B-4-8
Apartmen Orkid,
Taman Bukit Serdang,
43300 Seri Kembangan, Selangor.

Terletak berhampiran Stadium Bukit Jalil. Dekat juga dengan ASTRO. Dekat lagi dengan Taman Teknologi Malaysia @ Technology Park (TPM).

Sewa RM350 dah le.
Jual RM90k sahaja.

Ishhh ... murah kan ...

Silakan sesiapa yang berminat, e-mel atau tel:
016-3774349.


31 July 2009

puisi aku dalam dewan sastera ogos 2009


Profesor Rahman Shaari pernah menulis sebuah puisi berjudul "Kintalo dengan Telur Emas".
Puisi itu memang menarik. Puisi sambungan kisah Kintalo di bawah ini aku tujukan khas kepada Prof. Rahman. Puisi ini disiarkan dalam majalah Dewan Sastera keluaran bulan Ogos 2009 yang sedang berada dalam pasaran sekarang.

SETELAH PULUHAN TAHUN BERLALU,
KUTEMUI KETURUNAN KINTALO
(dedikasi kepada Profesor Rahman Shaari)

Kintalo, Kintalo, Kintalo ...
Kintalo tersedar akan kesilapan
Pesan gergasi segar dalam ingatan
Telur yang dua dalam simpanan
Dijaga dibelai penuh perhatian

Sewaktu pasaran saham melonjak tinggi
Harga emas pun melambung lagi
Kintalo bijak mengatur strategi
Penuh sabar dia menunggu lagi

Telur dijaga sebaiknya dibelai mesra
Sekali lagi emas melonjak harga
Telur emas itu Kintalo jual segera
Jutaan ringgit nilai telurnya

Hiduplah Kintalo dalam kemewahan semula
Dibelinya barangan mahal berjenama segala
Setakat banglo dua tiga buah perkara biasa
Televisyen skrin rata, kereta, dan isteri juga
Semuanya yang besar-besar BELAKA

Tapi ... Kintalo tidak pernah lupa
Dia membayar zakat harta benda
Dia beramal jariah selagi terdaya
Dia tidak lupa si miskin si papa

Jodoh, ajal, semuanya adat hidup di dunia fana
Umur Kintalo dan isteri sampai penghujung
Waris Kintalo pun mewarisi segala harta
Wahai ... Memang dia sangat beruntung!

Ada kepada suatu peristiwa
Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa
Banglo mewah rumah agam musnah segala
Meratap menangislah sekalian mangsa

Di hotel mewah mangsa ditempatkan sementara
Namun ada yang berasa masih tidak selesa
Mereka berpakat menuntut pampasan
Malangnya tuntutan tidak dilayan

Di tapak rumah segala musnah berserakan
Seorang mangsa perempuan kuajukan soalan:
“Agaknya bagaimana masa hadapan puan
Sehelai sepinggang tiada bantuan?”

Tanpa sedih malah bermuka selamba
Konon kecewa tapi masih bergaya
Dia menjawab dengan bersahaja:
“Memang susah hidup kami nanti
Duit dalam bank tinggal satu dua juta saja lagi!”

Aku diam kelu lidah tidak terkata
Dalam hati aku menyumpah segala:
"Memang patut Tuhan berikan kau bala
Wang berjuta masih tidak cukup juga."

Mendengar keluhan perempuan yang ego
Selamba walau harta musnah sekelip mata
Memang sungguh dia waris Kintalo
Yang mewarisi wang berjuta-juta

Andai Kintalo masih bernafas kini
Gergasi pun masih ada di sini
Tentu Kintalo mendengar pesan gergasi lagi:
“Telur itu jangan sesekali kau beri
Kepada perempuan yang sombong ini!”

26 May 2009

buah mata kerbau ada, bang ...


Peristiwa tahun lepas berulang lagi. Peristiwa yang sama, tapi di tempat yang berbeza ...
Di kawasan perumahan aku, selain "paper lamma, solat kaba lamma, beteli lamma" dan "tilam tilaaaam, tilam lame tuka balu ... tilam tilaaaam, tilam lame tuka balu ...", ada satu lagi yang lebih kurang jugak fesyen dia.

Yang ni versi Melayu. Dengan menggunakan lori, brader ni pun pusing keliling taman perumahan sambil announce dengan "loud speaker".

"Aaa ... buah ... buah. Murah ... murah .... Mangga, rambutan, mata kucing ... buah ... buah!"

Tahun lepas, bila dia lalu kat depan rumah aku, aku pun beli la rambutan sikit.
"Aku beli banyak ni, takde diskaun ke?" Aku tanya.
"Eh ... dah murah ni, bang. Special utk abang. Semalam kan abang baru beli. Hari ni saya bagi murah la." Dia kata.
Memang lahabau brader ni. Depan2 kelentong aku. Semalam mana aku beli apa2. Dan semalam aku takde kat rumah pun. ha ha.

Tahun ni pulak. Semalam. Di kawasan perumahan baru aku. Aku dengar suara yang sama. Aku nampak lori yang sama. Dan, memang dia, orang yang sama.

"Buah ... buah. Rambutan, mangga, mata kucing ... buah ... buah!"

Aku stop dia kat depan rumah aku.

"Ye bang ... nak buah apa ... rambutan, mangga, mata kucing ..." Dia tanya sambil buka beg plastik.

"Errr ... buah mata kerbau, ada tak?"

...

ha ha ha.

happy birthday to you ...


"HAPPY BIRTHDAY" kepada adik manis yang sedang potong kek ni.
Terima kasih order kek dari kekdehanz.

Saya rembat gambar ni dari blog kekasih.

20 April 2009

20 tahun yang lalu ...


Kisah ni sepatutnya dicatakan pada 5 April 2009 yang lalu. Tapi kerana kesibukan yang amat, hari ni barulah dapat disiarkan. Tapi, kira okey la, kan. Masih lagi dalam bulan yang berkenaan.

"5 APRIL - HARI INI DALAM SEJARAH"

Pada hari ini, 20 tahun yang silam, bersamaan 5 April 1989, aku dan 2 orang rakan berada di puncak tertinggi di Asia Tenggara. Ya, hari itu, sebelum muncul mentari pagi, kami betul2 berada di Low's Peak, Gunung Kinabalu. Kami berada pada paras 4101 meter. MasyaAllah! Pemandangan yang sungguh menakjubkan!

Tapi, beberapa hari yang lalu apabila aku cari maklumat tentang Gunung Kinabalu dalam Wikipedia, dicatatkan bahawa gunung Kinabalu merupakan puncak tertinggi di Malaysia yang ketinggiannya mencecah 4095 meter dari aras laut. 4095m? Adakah Kinabalu semakin rendah? Semakin tenggelam ke dasar laut? Atau puncaknya dimakan geroda?

Dikatakan juga bahawa Gunung Kinabalu merupakan gunung ke-6 tertinggi di Asia Tenggara di belakang Hkakabo Razi di Myanmar (5881m), Puncak Jaya (4884m), Puncak Trikora (4730m), Puncak Mandala (4700m) dan Puncak Yunin (4595m) di Indonesia, dan ke-18 tertinggi di Asia.

Dulu kita tahu Kinabalu yang tertinggi, tapi kini dah jatuh no. 6 di Asia Tenggara. Bila masa pulak muncul gunung2 yang lain yang lebih tinggi tu?

Terdapat beberapa pertikaian mengenai kedudukan ketinggian gunung Kinabalu di Asia Tenggara, bergantung kepada cara pentakrifan ketinggian gunung dan sempadan Asia Tenggara. Puncak Raya (juga dikenali sebagai Piramid Carstenz) telah diakui sebagai puncak tertinggi di "Oceania". Indonesia dari segi politik umumnya dianggap sebahagian daripada Asia Tenggara, tetapi dari segi geologi dianggap sebahagian “Oceania” - disebabkan Indonesia tidak bercantum secara fizikal dengan benua Asia.

WALAU BAGAIMANAPUN, AKU DAH SAMPAI KE PUNCAK TERTINGGI ITU. SAH SAH DALAM SIJIL TERTULIS GUNUNG KINABALU (4101 M) YANG TERTINGGI DI ASIA TENGGARA!


17 April 2009

hari ini 17 April genaplah 11 tahun ...


Anak lelaki saya yang suka melukis tu, genap umurnya sebelas tahun hari ni. Banyak lukisannya yang terbaru. Tak sempat saya nak scan. Esok dia akan mewakili sekolah dalam pertandingan melukis sempena Karnival Seni.

Nak bagi hadiah apa ye?

"HAPPY BIRTHDAY, ADIK"

Ayah, Mama & Kakak sentiasa mendoakan kejayaan Adik.
Sayang Adik.

setelah 50 hari berlalu ...

Hari ni genap 50 hari saya membiarkan blog tanpa catatan. Ada rakan-rakan, termasuk Marsli N.O dan Zuldean telefon dan tanya saya , apa hal blog kau tergantung? Ha ha. Bro Pyanhabib, Benuasuluk, Azlishukri dan Zaid zaidel pun tanya perkara yang sama. Hari ni saya akan mencoret kembali. Tiada catatan dalam blog saya, tidak bermakna saya tidak membaca blog anda. Cuma saya tidak meninggalkan komen. Saya masih di sini ...

26 February 2009

antara 12 dengan 20


Saya: Apasal kau tak suka no 12?
Joe: Cerai.
Saya: Oooo.
Joe: Kau suka no berapa?
Saya: 20.
Joe: Why?
Saya: Kekal dan bahagia.
Joe: Ooooo. Tahniah!
Saya: Terima kasih.

Alhamdulillah.
(Ya, semalam saya cuti. saya dan kekasih saya, kami macam baru kahwin. hahaha)

19 February 2009

pokok ni kan, dulu kecik jer, sekarang ...


.
.
.

21 January 2009

saya sibuk; saya pindah; saya hantar anak ke ipt


1. Lama tak update. Sungguh. Saya memang sibuk.

2. 1 Januari 2009 saya berpindah tempat tinggal. Persediaan dan urusan untuk berpindah memang leceh dan memenatkan. Macam benuasuluk (benuasuluk.blogspot) saya pun berpindah ke kawasan lain. Tapi perpindahan saya memang dirancang.

3. Minggu lepas saya hantar anak sulung balik ke asrama. Saya hantar dia balik ke sebuah IPT nun di utara negeri darul ehsan. Saya memandu sendirian tanpa ditemani isteri. Saya terpaksa cuti pula hari tu. Pendaftaran buat hari bekerja. Alangkah elok, alangkah baik, alangkah pandai, alangkah tidak "bodo" kalau pihak berkenaan minta pelajar mendaftar hari Sabtu atau Ahad. Mak bapak pun senang. Yang bekerja makan gaji taklah susah susah nak ambil cuti. Yang bekerja sendiri taklah terpaksa meninggalkan pekerjaannya pada hari itu. Yang kerja secara sambilan @ kontrak dah la tak ada gaji hari tu. Inilah yang benuasuluk kata "bodo macam papan".

Lagi sekali "bodo macam papan" sewaktu proses pendaftaran masuk ke asrama. Anak saya dah beratur panjang menunggu giliran untuk ambil kunci bilik. Sampai giliran, "pegawai" yang jaga pendaftaran kata tak boleh daftar sebab slip bayaran yang ditunjukkan tidak ada cop. Anak saya dan kawan2 yang tak ada cop pada slip kena pergi semula ke dewan pendaftaran untuk dapatkan cop daripada "pegawai cop" di sana. Kena la depa menapak ke dewan yang sedap sedap berjalan di bawah sinaran mentari tu. Memang "bodo macam papan". Masa daftar kemasukan tadi kenapa tak beritahu, atau terus saja cop pada slip tu. Lepas "pegawai cop" menjalankan tugasnya cop pada slip bayaran, budak2 tadi kena menapak balik semula ke tempat pendaftaran asrama, dan beratur lagi untuk jumpa "pegawai daftar asrama" kerana nak dapatkan kunci bilik asrama. Memang "bodo macam papan".

Kalau tak ada cop pun, slip bayaran tu dah terbukti menunjukkan yang bayaran telah dibuat. Nama IPT dan no akaun IPT pun tertera pada slip bayaran tu. Apa salahnya "kau" ambik jer slip tu. "Bodo macam papan".

Untuk ceritera "bodo macam papan" sila layari: benuasuluk.blogspot.

30 December 2008

apabila bunga kembang berseri-seri ...



Pagi. Aku dengan Joe. Minum kat warung. Aku teguk teh panas kaw. Joe teguk teh "o" nipis suam kurang manis.

Joe: Kau baca paper semalam?

Aku: Emmm. Apsal?

Joe: Baca tak cerita anak2 tak sekolah sebab bapa tak mampu?

Aku: Baca. Kesian ek!

Joe: Kepala bana kau, kesian! Menyampah! Bebulu, aku!

Aku: Woit! Apsal bebulu lak?

Joe: Kau tak tengok gambar tu. Tak mampu, tapi anak bederet2. Siap ada baby lagi kat riba bini dia.

Aku: Dah subur. Nak buat camne?

Joe: Aahhh! "Settle luar" la.

Hahaha.

(gambar hiasan: gua rembat dari blog gayour. mintak maaf datuk. anak cucu minta izin guna gambar ni utk hiasan entry)

17 December 2008

di sebuah gerai makan malam itu



Malam. Aku dengan Shah singgah di sebuah gerai tomyam.

Gadis pelayan cantik: "order, bang."

Aku: "sekejap ye."

Shah: "bagi Memo!"

01 December 2008

hari ini bertanam jagung, esok kita menuai padi ...

Hari Kamis yang lalu, dalam senyuman gembira, Zaidel (rakan setugas) melambai saya. Kemudian, dia menunjukkan sekeping surat rasmi dari jabatan. Setelah membaca, saya pun senyum.

"Tahniah." Saya kata.
"Terima kasih." Zaidel jawab.

Patutlah Zaidel seronok. Dia diarahkan bertugas di Sarawak. Dia dapat balik kampung. Dia dapat sentiasa di sisi keluarga tercinta.

Pada hari Jumaat yang lalu, kami mengadakan majlis perpisahan untuk Zaidel dan Kak Jamilah. Kak Jamilah akan bersara pilihan. Dalam urusan pentadbiran, Kak Jamilah memang banyak pengalaman. Selepas persaraan, Kak Jamilah telah pun ada perancangan sendiri. Dia memang telah bersedia untuk meneruskan perancangan itu bersama-sama suaminya. Semoga dia akan berjaya.

Yang pasti, laksa Kak Jamilah memang sedap!




Gambar bawah, yang bertudung ungu, Suria namanya. Gambar2 di sini guna kamera handphone dia la. Terima kasih, Su.

17 November 2008

hasil kreatif anak lelaki saya ...

Kisahnya. Anak lelaki saya. Tahun ni umurnya 10 tahun. Darjah 4A. Hobi: Melukis. Buku kosong yang saya bekalkan kat sekolah, memang jadi bahan lukisannya. Belum lagi contengan di kertas A4. Kertas lukisan memang banyak saya bekalkan. Memang saya beli untuk dia conteng. Semuanya saya simpan. Dia mula melukis sebelum masuk sekolah lagi. Saya paparkan di sini antara lukisan daripada buku kosongnya. Yang lain, yang terbaru, akan saya paparkan kemudian.

Siri Final Fantasy ...



Tentang orang bercinta ...


Aksi membara ...


Ala-ala karikatur ...


Masa awal2 iklan ni kat tv ...


Yang ini lukisan tahun lepas rasanya ...


Ini pun tahun lepas juga ...


Komik pun dia buat. Ada lagi sambungan tapi saya tak upload kat sini.

13 November 2008

saya memang berdebar menunggu detik 10.30 hari ini ...


Sejak semalam, saya berdebar. Mulanya saya tak rasa apa-apa. Tapi makin dekat, debaran makin terasa. Hari ni, debaran itu semakin memuncak.

11.00 pagi. Inilah masanya.

Deringan telefon membuatkan saya tersentak. Isteri saya telefon.

"Hello, bang!" Nada suaranya macam cemas. Ada esakan tangisan.

"Macam mana?" Saya tanya, tak sabar-sabar lagi.

"Telefon dia sekarang," kata isteri saya dalam esakan.

Saya terus menelefon anak saya di sekolah.


"TAHNIAH, SAYANG. I LOVE U."

Anak perempuan saya yang menduduki peperiksaan UPSR baru-baru ini mendapat 5A.

ALHAMDULILLAH!

SYUKUR YA ALLAH!

TERIMA KASIH, TUHANKU!

07 November 2008

inilah contoh tugasan saya sewaktu kursus singkat anjuran medium books & consultancy


Minggu ni saya mengikuti kursus singkat tentang perekaan newsletter anjuran Medium Books & Consultancy. Antara penceramahnya ialah Profesor Madya Dr. Mus Chairil. Beliau ni pakar dalam bidang reka bentuk. Dalam tempoh yang singkat itu, kami seramai 27 peserta dari pelbagai jabatan seluruh Malaysia ditugaskan membuat "assignment" secara berkumpulan dan individu.

Bagi tugasan individu, kebanyakan peserta membuat reka bentuk dan reka letak newsletter yang diterbitkan oleh agensi masing-masing. Tapi saya tidak berbuat begitu sebab newsletter di tempat saya bekerja telah ada pegawai yang menanganinya. Jadi, saya telah menghasilkan satu contoh kulit buku seperti yang saya paparkan di sini. Buku yang saya gambarkan itu adalah tentang hiasan dan reka bentuk kek yang dihasilkan oleh "kekasih" saya (kekdehanz.blogspot).

Agak-agaknya, boleh ke buku ni menjadi "best seller"?

30 October 2008

alam remaja yang indah kembali berlegar dalam resah mimpiku sewaktu semilir bayu dingin membelai tubuh lantas meronakan kenangan ke laman kasihmu ...


Bukan niatku mencungkil kisah lalu. Wajah ayumu sentiasa dalam lipatan kenangan. Di hadapanmu, wajah mulus yang mencerna bahagiaku, emosiku sentiasa tersentuh. Keakraban persahabatan bukan bererti kita dapat bersama selamanya. Aku pasrah menerima ketentuan takdir. Pertemuan semula, setelah sekian lama hati sering menangis meratap perpisahan, adalah saat indah yang mengembalikan nostalgia. Hatiku, hati seorang lelaki yang keras dan tidak mudah mengalah, cair dalam segar lunak suaramu ...

.
.
.

22 October 2008

sudiro sukiman sahabatku, selamat bersemadi ...


Hari Jumaat, 17 Oktober 2008 yang lalu, jam 3.00 petang saya menerima berita sedih. Kawan baik saya, Sudiro Sukiman telah kembali menemui Tuhan Yang Esa. Saya mengenali arwah semasa kami sama-sama terlibat dalam teater kanak-kanak dulu, sementelah pula, sebelum berpindah ke Subang, dia tinggal di penempatan yang sama dengan saya.

Sebelum bulan Ramadan yang lalu, saya menelefon allahyarham, bertanya kabar dan saya beritahu bahawa saya akan ke rumahnya dalam masa sehari dua lagi. Masa "sehari dua" yang saya katakan itu pun tiba. Pagi. Saya menelefon allahyarham sekali lagi. Dia menjawab panggilan saya. Katanya, "Nan, kau tak payah le datang rumah aku. Aku nak balik rumah mak aku ni. Dah lama pun, aku tak balik. Kita jumpa kat sanalah, nanti."

"Okey lah," jawab saya.

Malam. Saya telefon allahyarham untuk memastikan yang dia sudah berada di rumah emaknya. "Aku belum sampai," katanya.
Sejam kemudian, ada suara orang memberi salam di muka pintu rumah saya.

"Diro! Kata kau belum sampai. Tetiba jer dah ada kat sini."
"Aku dah sampai siang tadi lagi. Saja tak telefon kau," katanya dalam senyuman. Mengiringinya, anak saudaranya, Fendi.
"Sepatutnya aku ke sana ziarah kau. Kau kan tak sihat. Ni, kau pulak datang rumah aku!"
"Sori la. Bukan aku tak bagi kau datang rumah aku. Rumah aku tu, jauh. Susah kau jer nak pegi sana, " kata allahyarham.

Kami berbual. Dia menceritakan kesusahan dan keperitan yang ditanggung sejak akhir-akhir ini. Terpaksa berulang-alik mencuci darah di hospital. Biaya untuk mengubat penyakitnya pun agak banyak. Badannya susut, kurus. Berjalan pun berhati-hati. Di pinggangnya, ada kantung air dan salur tiub yang menembusi perut yang terpaksa di bawa ke mana saja dia pergi. Tapi, air mukanya sentiasa ceria. Gurauannya seperti biasa. Ada-ada saja selorohnya. Dan Fendi, anak saudaranya itu pun sudah mengikut jejaknya - dalam percakapannya ada gurau senda. Lama juga kami berbual sebelum allahyarham memohon untuk balik ke rumah emaknya yang tidak jauh dari rumah saya.

Minggu ke-2 Syawal, anak saya menjemput kawan-kawannya berhari raya di rumah. Fendi juga datang.
"Mana uncle," tanya saya kepada Fendi. Uncle adalah panggilan untuk allahyarham.
"Uncle kat Subang. Sepatutnya saya balik ambik dia ni. Tapi motor saya rosak, accident," jawab Fendi sambil menunjukkan luka-luka di badannya. "Bila motor dah siap repair nanti, saya balik ambik dia."
"Bawak dia datang sini," pesan saya. Fendi angguk.

Lepas itu saya tidaklah menelefon allahyarham, kerana memikirkan bahawa beberapa hari lagi Fendi akan membawa allahyarham balik ke rumah emaknya. Dan dia pasti akan datang ke rumah saya. Sehinggalah hari Jumaat lepas, saya mendapat berita sedih itu ...

Allahyarham dulu pernah berlakon dalam siri "Rumah Kedai" dengan memegang watak Tapa. Sehingga akhir hayatnya, allahyarham masih meneruskan khidmatnya melatih generasi muda dalam bidang teater.

Diro - selamat bersemadi di sisi Tuhan Yang Esa. Doa kami, semoga engkau di tempatkan dalam kalangan insan beriman dan diredai Tuhan. Amin.

(sumber foto: Berita Harian)
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20081018005820/Article/

14 October 2008

ayah ... boleh saya pinjam sepuluh ringgit ...


Saya dapat kiriman e-mel daripada seorang rakan sepejabat, Sdr Wan Mohd Safuan Wan Ahmad. Cerita asal saya tidak tahu daripada siapa, tapi saya mohon kebenaran untuk saya siarkan dalam blog ini. Cerita ini saya edit sikit-sikit. Semoga menjadi renungan kita bersama.

Malam. Hampir pukul 10. Seorang ayah pulang ke rumah dalam keadaan letih. Kepulangannya disambut oleh anaknya, Amin yang berusia 10 tahun. Sambil mengangkat briefcase ayahnya, Amin bertanya ayahnya.

Amin: Ayah ... ayah ... boleh Amin tanya?
Ayah: Hmmm .... nak tanya apa?
Amin: Ayah ... berapa pendapatan ayah sejam?
Ayah: Itu bukan urusan kamu, buat apa sibuk-sibuk nak tanya gaji ayah? (Si ayah mula meninggikan suara).
Amin: Maafkan Amin, ayah. Amin saja nak tahu. Kalau boleh, tolonglah beritahu Amin? kata Amin sambil tunduk kerana takut melihat ayahnya yang sedang marah.
Ayah: 20 ringgit sejam. Kenapa nak tahu? (Si ayah meninggikan suara lagi).
Amin: Oh ... 20 ringgit. (Perlahan suara Amin. Dia tunduk dan bermuka sedih).
Amin: Ayah ... boleh tak bagi Amin pinjam 10 ringgit daripada ayah? (Amin memandang muka ayahnya dengan harapan).

Si ayah mula berang dan berkata, "Oh, itu sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak minta duit! Nak beli mainan lagi?? Ayah penat kerja cari duit, kamu senang-senang nak membazir, ya! Sudah, pergi masuk tidur! Dah pukul berapa ni!"

Amin terdiam. Dia sedih dan hampir menitiskan air mata. Perlahan-lahan dia kembali ke biliknya. Si ayah duduk di sofa sambil memikirkan mengapa anaknya meminta duit 10 ringgit. Tidak lama kemudian, Si ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan besar anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolah. Sebelum ini anaknya tidak pernah meminta wang sebanyak itu.

Dengan rasa kesal dan bersalah, Si ayah melangkah menuju ke bilik anaknya. Amin masih belum tidur. "Kamu benar-benar perlukan 10 ringgit? Nah ... ambil ni."
Si ayah mengeluarkan duit merah. Amin bangun dan dengan tersenyum girang mengambil duit itu daripada ayahnya. "Terima kasih, ayah! Nanti bila Amin ada duit, Amin akan ganti."

Kemudian, Amin mengangkat bantalnya dan mengambil duit 10 ringgit yang sudah kusam dan renyuk terhimpit bantal. Apabila ternampak duit itu, si ayah kembali berang. "Kenapa kamu mintak duit lagi, sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu? Dari mana kamu dapat duit tu?"

Amin tunduk ... tak berani dia merenung ayahnya. Sambil menggenggam kemas duit itu, dengan linangan air mata, dia menerangkan, "Duit ni Amin kumpul. Duit belanja sekolah yang ayah bagi hari-hari. Amin minta lagi 10 ringgit sebab Amin tak cukup duit." Amin terhenti bersuara sambil teresak.

"Tak cukup duit nak beli apa?" jerkah Si ayah lagi.
"Ayah ... sekarang Amin dah ada 20 ringgit. Nah, ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam masa ayah di pejabat tu. Amin nak ayah balik kerja awal esok. Amin rindu nak makan malam dengan ayah. Amin rindu belaian dan suara ayah,” jelas Amin tanpa memandang wajah ayahnya.

08 October 2008

puasa sunat syawal yang pahalanya bersamaan dengan sebulan berpuasa pada bulan ramadan



Hari ini, 8 Syawal. Hari ini juga merupakan hari raya bagi sesiapa yang berpuasa sunat Syawal. Sejak zaman sekolah dulu-dulu, uztaz, ustazah, tuk guru (dan cikgu-cikgu (cikgu s.yanaz?)) dah bagitau banyak kali. Puasa sunat Syawal yang enam hari ni, pahalanya bersamaan dengan berpuasa selama sebulan bulan Ramadan.

Jadi, ada juga kawan-kawan yang berseloroh buat kelakar, jika dia berpuasa sunat 6 hari pada bulan Syawal tahun ini, maka pada tahun hadapan dia tidak perlu berpuasa pada bulan Ramadan.

Ada juga yang buat perkiraan macam ni: sepanjang bulan Syawal, dia dapat menunaikan 4 kali puasa sunat (setelah 6 hari puasa, raya 1 hari dan ulang berpuasa lagi 6 hari). Jadi, dia tidak perlu berpuasa Ramadan bagi 4 tahun yang akan datang.

Suku sakat yang lain kata macam ni pulak: dia tak berpuasa pada bulan Ramadan, sebaliknya hanya berpuasa sunat Syawal 6 hari saja. Dia dah dapat pahala sebulan bulan Ramadan.

Ho ho. Jadi:

RENUNG-RENUNGKAN!

DAN ...


SELAMAT BERAMAL!